Mati Tidak Mengenal Usia

  • 0
Assalamualaikum.

Terjaga dari tidur pada pukul 3.30 pagi, hati aku tergerak membaca mesej dari kumpulan whatsapp. Mereka mengongsikan screenshot status Facebook ibu salah seorang kawan kami. Secara ringkasnya, status ini mengkhabarkan 5 orang sahabat kami telah ke Indonesia untuk bercuti dan dua daripadanya telah hilang dalam sungai. Dipercayai mati lemas. Kawanku ini telah melaporkan kejadian ini kepada pihak polis dan mereka diminta membantu usaha pencarian badan kawan kami yang hilang itu.



Aku lihat gambar yang disertakan sekali bersama status tersebut. Kelima-lima kawan/kenalan aku tersebut semua tersenyum dalam gambar tersebut, mencerminkan riak wajah gembira menikmati keadaan di Indonesia. Siapa sangka perjalanan yang dirancang ke negara jiran berakhir dengan tragedi. Pergi berlima, balik bertiga.

Aku masih lagi dengan perasaan terkejut dan sedih semasa menaip entri ini. Manakan tidak, kami yang sebaya (24 tahun) ini rata-rata baru sahaja menyertai alam pekerjaan, alam mendirikan rumah tangga, alam memiliki cahaya mata, namun perkhabaran yang aku terima pagi ini membuktikan ada juga telah pergi buat selama-lamanya.

Sedih. Rasa macam baru sahaja bersekolah rendah dan agama dengan mereka tetapi mereka sudah tiada.

Berita ini mengingatkan aku tentang keadaan diri selepas mati. Bagaimanalah agaknya ya? Sudah bersediakah kita untuk menghadapi kehidupan abadi selepas roh keluar dari jasad di dunia ini? 

Aku biarkan persoalan-persoalan di atas mengakhiri entri ini. Renungkan. Assalamualaikum.

Kemaskini: Pautan berita di laman web Berita Harian (http://www.bharian.com.my/node/144612?m=1

No comments:

Post a Comment