Istimewa

  • 0
Assalamualaikum.

Malam ni, seperti minggu-minggu sebelumnya, aku ada kelas BEL (English Studies) yang perlu dihadiri.

Hari ini, pensyarahku mengutarakan persoalan, 'What are you good at?"

Beliau meminta kami berbuat demikian supaya kami sedar akan kelebihan kami. Bukannya berniat untuk berbangga-bangga dengan kelebihan diri yang ada, tetapi adalah untuk mengajar diri kita menerima kelebihan yang ada pada diri. 

Rata-rata kita malu menyatakan kelebihan diri malah lebih selesa merendah diri sambil menceritakan kekurangan diri. Kita tidak mahu dianggap sebagai orang yang riak kerana menyatakan kelebihan kita ada walhal tidak terlintas sedikit pun perasaan itu.

Tanggapan itulah yang membuatkan kita rasa kurang yakin dengan diri kita dek terlalu kerap meng'highlight'kan keburukan diri. Mengakui kelemahan diri itu perkara baik, tapi tanpa sebarang usaha untuk memperbaikinya pun, tabiat itu akan memakan semula tuannya.

Berbalik kepada cerita tadi, pensyarah BEL  memberikan masa seminit kepada kami untuk memikirkan tentangnya. Aku gunakan masa tersebut untuk ke tandas. Kubasuh muka ini sambil memandang cermin, lalu menanyakan soalan tersebut dalam hati.


"Aku bagus dalam apa eh?" soal diriku diiringi dengan basuhan muka menggunakan air paip yang menyegarkan.

Aku mula terfikirkan tentang hobi aku. Aku suka melayari Internet. Kemudian, idea singgah di perkarangan kotak fikiranku.

Eureka! Aku tahu aku pantas dalam mencari maklumat menggunakan Internet!

Namun, aku mengambil keputusan untuk tidak mengambil hal tersebut sebagai keistimewaan memandangkan skil itu klise. Normal bagi semua orang yang sudah sebati dengan Internet.

Kemudian fikiranku melayang kepada penulisan blog. Hobi keduaku.

Aku sedar, aku menulis blog untuk memberi inspirasi dan menceritakan semula apa yang terjadi dalam hidup aku melalui perspektif aku. Aku cuba memikirkan perkataan Inggeris bagi ayat ini, "Saya mampu mengambil inspirasi daripada setiap kejadian."

Setelah beberapa saat berlalu, aku buntu untuk memikirkan ayat yang sedap untuk diucapkan dalam kelas nanti. "I'm good at extracting good things in every situation." Ayat tersebut terbina sejurus aku memikirkan maksudnya dalam bahasa Melayu. Buruk benar terjemahannya!

Sebelum aku melangkah keluar dari bilik air, hati aku tergerak memikirkan penggunaan perkataan 'hikmah'. Aku melangkah ke dalam kelas dengan muka control, malangnya tidak berjaya meneruskan membuat muka poker face selepas mendengarnya berkata, "Lamanya dalam tandas," dengan nada menyindir. Aku tergelak juga akhirnya. HAHA.

Aku berpendapat mesti mereka ingatkan aku ke bilik untuk buang air agaknya.

Setelah melabuhkan punggung di atas kerusi, aku dapati seorang rakan sekelasku baru sahaja selesai ditanyakan soalan tersebut. Dia diminta memilih salah seorang daripada rakan-rakan kelas kami untuk menyatakan keistimewaan dirinya. Dia membuat keputusan untuk memilih aku sebagai orang yang seterusnya.

Pensyarah memandang ke arahku sambil menantikan jawapan daripadaku. Kami berbalas pandangan.

Aku membuka mulut, "I'm good at pointing out the hikmah in every incidents in my life." Dalam bahasa Melayunya, "Saya bagus dalam memikirkan hikmah di sebalik kejadian dalam hidup saya."

Aku bersyukur kerana dapat mengungkap kata-kata tersebut dengan lancar memandangkan aku masih samar-samar dalam memikirkan ayat-ayat yang mudah untuk menceritakan keistimewaanku. Pensyarahku memberi huraian tentang keistimewaan tersebut. Aku mengangguk tanda setuju dengan penjelasannya.


Sesudah sesi tersebut, aku tahu aku sudah meletakkan penanda aras bagi diriku untuk terus berfikir positif walau apapun situasi yang menimpa dalam diriku. Semoga Allah membantu dalam berbuat demikian dan seterusnya membuka ruang kepadaku untuk mengambil semula takhtaku di dalam hati ini. Menjadi seorang raja kepada hati ini semula.

Tata! Salam :)

P/S: Dah pasang azam untuk tulis entri-entri yang memberi inspirasi je pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment