Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga

  • 0
Assalamualaikum.

Pada malam Jumaat 12 April 2012, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki telah dijemput untuk menyampai ceramah di Masjid Al-Khairiyah Fasa 7 Taman Sri Gombak. Alhamdulillah, rezeki kami di sini.


Secara jujurnya, aku tak rasa aku kenal beliau. Nama dan muka beliau sangatlah familiar, tapi aku tak boleh recall walaupun sudah semak berkali-berkali dalam rak memori-memori.

Aku dapat tahu pasal ceramah ini pun melalui post shared by Facebook Masjid Al-Khairiyah beberapa hari yang lepas. 

Ikut hati yang makin malap motivasi ke ceramah ini dari hari ke hari, alhamdulillah, Allah gerakkan hati ini untuk melihat post Farhan Mazlan, sahabatku di Facebook yang share semula post ini. Entah mengapa, rasa untuk berjumpa dengan beliau mekar semula.

Selepas solat sunat selepas Maghrib, kami menunggu ketibaan beliau. Aku yang kekok duduk berhampiran rak al-Quran yang berhampiran, mata sibuk melilau mencari figura dakwah itu. Sebelahku, terdapat seseorang yang baru selesai solat, berbaju kelabu. Aku menjarakkan sedikit daripada dirinya, takut terlanggar dia.

Kemudian orang sekelilingnya datang menghampirinya lalu berjabat tangan.

Kemudian beliau bangkit daripada duduknya dan bingkas bangun ke tempat ceramah. Aku tergamam :O Aku dalam hati ini berbisik, "Takkanlah dia ni Syeikh? How come aku boleh tak perasan?!" Lumpy me!

Ceramah kemudian dimulakan. Ceramah kali ini tiada tajuk khusus. Jadi, beliau menumpahkan ilmunya pada kami hadirin dengan topik yang cenderung kepada perumpamaan "Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga".

Tok Guru yang bersemangat menyampaikan ceramahnya!

Berikut adalah antara isi-isi ceramah beliau.
  1. Ibadah kepada Allah mampu membina perisai daripada musibah dan perkara yang kita hajati.
  2. Suasana yang bersih dan penuh nilai kebaikan membantu kita dalam beribadah.
  3. Walaupun ramai orang yang beribadah, tetapi kadang-kadang hasrat mereka tidak dapat ditunaikan. Mengapa boleh jadi sedemikian? Hal ini demikian kerana pastinya sesuatu yang menghalang doa kita daripada dikabulkan.
  4. Terdapat dalam satu riwayat menerangkan bahawa Allah mahu menurunkan azab dan seksa kepada penduduk Bumi, tetapi ditahanNya kerana dua amalan hambanya iaitu beriktikaf di masjid dan beristighfar pada waktu fajar.
  5. Solatlah berjemaah kerana walaupun solat seseorang itu tidak sempurna, namun kerana terdapat solat ahli jemaah yang mantap, solat orang yang tidak sempurna itu turut dipercantikkan olehnya.
  6. Jemaah membantu seseorang mengisi ketidaksempurnaan seseorang dengan kelebihan seseorang yang lain di dalam jemaah.
  7. Ramai sahaja soleh di masjid, tetapi tak soleh di luar masjid.
  8. Sekiranya mendengar seruan azan, maka solatlah.
  9. Berapa banyak bilangan umat Islam di tempat kita yang masih meninggalkan solat? Yang masih solat bersendirian? Yang masih solat lewat waktu? 
  10. Sekiranya mahu menempatkan jenazah seseorang, tempatkanlah dia dalam perkuburan orang-orang soleh.
  11. Jangan kita tahu menangkap kejayaan sahaja, tetapi belajar untuk menangkap rahmat Tuhan. 
  12. Disebabkan mata salah melihat, mulut salah makan, telinga salah dengar, badan menjadi malas untuk beribadat.
  13. Kesolehan segolongan kelompok dalam masyarakat turut larut dan hanyut dalam arus maksiat yang dilakukan secara berluasa dalam skala besar.
  14. Azab Allah itu diturunkan sama rata.
  15. Dalam mencari kesempurnaan dalam kehidupan, buatlah sesuatu berlandaskan syariat Islam.
Syeikh Nuruddin pandai menarik perhatian hadirin dengan menggayakan efek bunyi dan tidak lekang bangun duduk untuk melakonkan babak dalam menyampaikan ceritanya. Bersemangat!
Berehat sebentar ketika azan Isya' dilaungkan
Beliau juga ada memberi beberapa perumpamaan sepanjang ceramahnya. Dengan cara ini, aku rasa mudah lagi pencernaan input-input yang cuba disampaikan walaupun memerlukan perincian topik yang panjang lebar.

Cerita Pertama 
Seseorang sedang memandu kereta di atas jalanraya. Alhamdulillah, jalan lengang sahaja. Keadaan itu tidak lama selepas kenderaan-kenderaan bergerak perlahan dan menyebabkan macet/sesak lalu lintas (jammed). Setelah melalui kawasan kereta bertukar perlahan tersebut, orang tersebut mendapati telah berlaku kecelakaan dengan antara teksi dan motorsikal yang hancur dimana penunggangnya sudah tiada. 
Masalahnya di sini, kejadian itu berlaku di laluan yang bertentangan dengan laluan yang digunakan orang tersebut. Mengapa pula laluan dia yang sesak?

Melalui cerita di atas, kita dapat rumuskan bahawa gara-gara seorang yang memperlahankan kereta untuk melihat keadaan yang berlaku di hadapan, semua di belakang mengalami masalah. 
Cerita Kedua 
Ibarat kita yang sakit gigi, apabila malam, kita susah hendak tidur lena. Ibarat kita yang digigit tebuan, walaupun kecil lukanya, tetapi kita boleh menghidapi demam satu badan.

Begitulah kesan maksiat dan kemungkaran pada umat. Walaupun hanya segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab ini, seluruh umat menanggung kesannya seandainya tiada pencegahan dan pemulihan.


Cerita Ketiga
Nabi Adam yang dicipta daripada tanah merupakan nabi yang melahirkan ratusan para nabi malah seluruh umat manusia. Kisahnya yang melanggar larangan Allah memakan buah khuldi menyebabkan seluruh umat manusia selepasnya terputus nikmat dari syurga.
Selain itu, kita yang bakal melahirkan anak, disambung salasilah kita dengan cucu, cicit dan  seterusnya memainkan peranan penting dalam mencorakkan keturunan kita. Walaupun kita ramai keturunan selepas kita, belum tentu mereka mampu mendamaikan kita di alam kubur nanti. Seandainya keburukan kita diteruskan turun temurun, tak ke naya kita menanggung dosa tersebut?
Perumpamaan ini menjelaskan bahawa walaupun seorang sahaja yang melakukan kesilapan, perkara tersebut menjadi wadah untuk keburukan mengambil tempat dalam kalangan umat kita.


Cerita Keempat
Makanan. Dalam menyediakan makanan, tak lengkap sesuatu hidangan tanpa bahan-bahan ramuannya. Sekiranya tiada salah satunya, pastinya kurang 'ummmph' dalam makanan tersebut.

Dalam beribadah, sama juga seperti dalam menyediakan hidangan, terdapat juga amalan tambahan bagi menimbulkan kemanisan santapan rohani tersebut. Takboleh lah habis solat, terus blah gitu aje. Lebih baik ada zikirnya, doanya dan ditambah solat sunat kemudiannya sekiranya ada.

Cerita Kelima
Sebuah telefon bimbit walaupun murah mampu memberi kesan kepada penerbangan Boeing 474, ketika berlepas, terbang tinggi di udara mahupun ketika mendarat.

Perumpamaan ini berkait rapat dengan peribahasa tersebut iaitu, walaupun kecil pada asasnya, tetapi perkara tersebut mampu menghuru-harakan sesebuah sistem atau dalam konteks manusia, masyarakat.
Cerita Keenam
Ketika perang Uhud, sebanyak 50 pemanah telah melanggar perintah nabi yang menyebabkan kekalahan tentera Muslim. Bukannya tentera Islam ketika itu tidak kuat, manakan tidak, Rasulullah ada, 10 orang yang dijamin syurga itu ada - ahli-ahli tentera Badar, namun disebabkan pelanggaran peraturan supaya tidak berganjak daripada tapak pemanah yang digariskan Rasulullah, kemenangan pada awal peperangan bertukar pihak.

Jelas di sini, selagi ada faktor yang boleh melemahkan struktur sesuatu organisasi, organisasi tersebut boleh tumbang.
Sesi ceramah tersebut kemudiannya diteruskan dengan sesi soal jawab.
Mahu sahaja aku tulis soalan dan jawapan di sini, tetapi dikhuatiri penulisan aku tidak cukup dan salah untuk menghuraikan sepenuhnya jawapan yang dinyatakan oleh tuan guru dalam program itu. Maklumlah petah benar dia menghuraikan jawapan bagi soalan-soalan tersebut.
 Para hadirin beratur ketika sesi bersalaman dengan beliau selepas solat sunat selepas Isya'


Alhamdulillah, aku sempat bersalaman dengan beliau. Aku harap dapat hadirkan diri dalam ceramah beliau pada masa akan datang.

Kenapa kita sekarang lemah? Diperlekeh? Diperli? Kerana adanya kuman dan bakteria di batang tubuh umat. (Syeikh Nuruddin, 2012)
Assalamualaikum.
________________________________________________________________________________________
Program ustaz di Malaysia buat beberapa hari ini. Don't miss it!

No comments:

Post a Comment