Malam

  • 0
Assalamualaikum.
Malam itu, jalan raya masih sibuk dengan kenderaan meskipun waktu menunjukkan hari baru sudah menjengah. Lampu jalan melimpahkan cahaya jingga, menerangi laluan yang sepatutnya hilang dari pandangan mata malam hari.

Aku memandu kereta dengan pantas, memacu pulang ke rumah. Sambil ditemani dengan rakan-rakanku, aku galak bersembang dengan mereka walaupun aku sedar keperluan fokus akan pemanduan kenderaan perlu diutamakan terlebih dahulu.

Apabila keadaan kereta menjadi sunyi sejenak, pening dan lesu mula terasa. Gara-gara teruja mengerah tenaga melayan rakan, tenaga simpanan buat pulang ke rumah sedikit sebanyak digunakan. 

Kepalaku terasa ringan. Tangan masih erat memegang stereng kereta. Sekali sekala, menukar gear. Kaki kanan memainkan peranan menekan pedal minyak berhenti.

Aku sambung berbual kembali. Aku mengadu akan keadaan aku. Selepas ditanya samada adakah perlu diganti pemandu kereta tersebut, aku menolak. 

Bahaya! Mereka barangkali lebih cekap memandu daripada aku, tapi itu tidak menjamin penyesuaian diri secara spontan semasa memandu kereta ini. 

Bahaya! Itu fikirku ketika itu. Mereka menerima dengan hati terbuka. Aku syukur dengan kerjasama mereka. Mereka sahabat yang benar-benar memahami.

Lampu isyarat kelihatan dari jauh. Aku memperlahankan kereta sedikit. Kelajuan terasa berkurangan sedikit demi sedikit. 

Mataku tertancap pada kereta sebelah. Kenderaan itu telah berhenti secara total. Kepala kupalingkan pada lampu isyarat yang berwarna merah. Kakiku masih tidak menekan habis brek. Aku terasa bingung sebentar.Sekarang berhenti atau jalan?

Tidak semena-mena, muncul sebatang tubuh melintasi di hadapan keretaku. Aku menekan brek dengan mengejut, kali ini, dengan sepenuhnya. Tubuh itu kulanggar, terjelepuk ke atas jalan. 

Masa dirasakan seolah-olah terhenti seketika.

Aku terasa berada di dalam dunia yang bergerak amat perlahan. Helaan nafasku dapat kudengar,  tidak tenggelam dengan bunyi hon kereta yang berhampiran dibunyikan kuat, tanda marah pemandu-pemandu lain kepada aku.

Aku membuka pasangan tali keledar dan mendapatkan orang yang kulanggar itu.

"Bro, sori bro. Okay tak?" tanya aku padanya.

"Selipar. Tolong carikan selipar." Aku dengan pantas mencari selipar di bawah keretaku. Tiada. Di bawah tayar. Tiada. Di sisi jalan. Tiada. 

Aku memandangnya dengan penuh serba salah dan penuh kehairanan. Mengapa ditanyakan keberadaan seliparnya sedangkan dia baru sahaja dilanggar? Adakah dia benar-benar okay? Adakah dia cedera? Bagaimana dengan kecederaannya? Bercalar atau tidak? Luka? Patah tulang? Pelbagai soalan menerjah kotak fikiran, semuanya pada satu masa.

"Takde bro. Selipar takde," tutur aku padanya, tidak mahu melengahkan masa. Mataku kemudian tertancap pada selipar hitam diperbuat daripada plastik, berjalur putih di atasnya tidak jauh daripadaku.

"Situ seliparnya," tanganku menunjukkan arah. Dia pantas mengambilnya.

"Eh, bro, ada apa-apa boleh bantu tak? Okay ke tidak?" tanyaku berkali-kali padanya yang juga berulang kali menyatakan, "Takpe-takpe."

Aku tercengang di situ. Kereta di sebelahku, pemandunya bersuara, "Bro, lampu merah bro! Lampu merah tu." Aku diam. Mengakui kesalahanku.

Aku menoleh semula ke arah manusia yang baru sahaja mengalami kemalangan itu. Tinggi. Mengenakan baju T merah. Bertopi. Dia tidak lagi berada di hadapanku, tetapi hendak melintas seberang jalan.

"Eh, bro! Nak apa-apa tak?"

"Takpe, okay sahaja," katanya kemudian sambil berlalu pergi.

Aku terkelu sebelum menghidupkan enjin kereta untuk pulang ke rumah. Kemudian, semuanya dirasakan samar-samar.

* * * * *

Aku terjaga, bingkas bangun dari tidur. Peristiwa tersebut dirasakan benar-benar berlaku. Realiti. Dirasakan seperti baru sahaja berlaku sebentar tadi. Aku merebahkan tubuhku semula di atas tilam. 

Mataku dipejamkan sengaja. Biar mimpi buruk itu dilupakan, hilang bersama-sama dengan kesedaran realiti yang semakin malap dijemput alam mimpi.

Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment