Bless You

  • 0
Assalamualaikum.

Di pejabat, setiap kali salah seorang rakan sekerja kami bersin, kawanku Henry akan mengucapkan "Bless you." Aku faham menuturkan kata-kata tersebut merupakan budaya yang baik dalam masyarakat apabila mendengar seseorang bersin. Dalam Islam juga dituntut melakukan perkara yang serupa. Ucapan Yarhamukallah (Semoga Allah merahamati kamu) diucapkan apabila seseorang mendengar orang lain bersin dan orang yang bersin itu akan menjawab Alhamdulillah (Syukur kepada Allah).

Peristiwa ini membuatkan aku bertanya kepadanya atas sebab apa dia mengucapkan kata-kata tersebut. Maklumlah, setiap perkara yang dilakukan perlulah ada sebab munasabah bukan?

Dia menjelaskan bahawa perbuatannya itu hanyalah mengikut budaya baik yang sedia ada. Aku angguk faham dan kemudian memberitahu pemahaman aku tentang bersin ini dari perspektif seorang Muslim.

Apa yang aku faham tentang ucapan ini ialah kita mendoakan seseorang itu rahmat di atas bersin yang membuang kotoran dari badan, selain mengucapkan syukur kepada orang tersebut kerana jantungnya terhenti sekejap ketika bersin dan kekal hidup semula selepasnya (itulah logik aku ketika menerangkan kepadanya).

Kemudian aku sedar yang penjelasan aku yang kedua itu sangatlah rapuh dan aku menawarkan diri untuk merujuk kepada syeikh al-Google.

Aku dapati jantung terhenti sekejap apabila bersin adalah tidak benar sama sekali. Sebenarnya, apa yang berlaku ialah apabila dada kita contract (mengecut?) disebabkan bersin, pengaliran darah kita menjadi sempit buat seketika. Ritma degupan jantung berkemungkinan untuk berubah (skip a beat) tetapi mustahil untuk ia berhenti berdegup. (Sumber: Sneezing: Myths, Causes, and Surprising Facts)

Aku terangkan penemuan aku ini kepada Henry dan kemudian dia gelak kerana memikirkan sekiranya penjelasan awal aku itu benar, nampak gaya sudah beberapa kali agaknya seseorang itu mati dan hidup semula ketika bersin tak berhenti-henti.

Alhamdulillah, siapa sangka maklumat ini aku dapat tahu semuanya bermula daripada insiden bersin dan ucapan rahmat kepada seseorang. 

Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment