Mengurus Manusia

  • 0
Assalamualaikum.

Aku dan kawanku, Hong dalam perjalanan pulang ke pejabat ketika kami berbincang tentang pengalaman bila berada dalam cabang bidang hartanah; penilaian, jual beli dan pengurusan hartanah. Memandangkan aku masih baru dalam industri hartanah dan kebanyakan masanya dalam bidang penilaian hartanah, aku cenderung menceritakan tentangnya.

Hong pula menceritakan pengalamannya dalam menguruskan bangunan pejabat gred A berdekatan MidValley. Dia menggambarkan pengurusan hartanah ini satu pekerjaan yang menyeronokkan. Kemudian dia menanyakan aku tentang apa pendapat aku tentang kemahiran utama dalam bidang tersebut.

Aku jawab, "Boleh kena tahan marah?"

Dia menjelaskan bahawa keupayaan tersebut bukanlah sesuatu yang baik untuk jangka masa pendek dalam karier tersebut. Apabila penyewa membuat aduan dalam keadaan beremosi dan membentak kita, menahan marah dan menyimpan rasa negatif tersebut boleh merosakkan diri kita dari dalam jika tidak disalurkan keluar dengan betul.

Tambahnya lagi, kemahiran yang sewajarnya aku fikir ialah pengurusan manusia. Bila kita belajar untuk menguruskan manusia dengan baik, apa jua jenis manusia yang hadir dalam hidup kita, boleh kita uruskan dengan semua pihak berasa puas hati dalam kebanyakan masa. Menguruskan manusia bermaksud kita bijak bermain dengan emosi mereka dan menawarkan solusi kepada persoalan yang ada pada mereka, dan bukan sekadar tidak berbuat apa-apa. Kemahiran ini membuatkan seseorang boleh kekal lama dalam industri ini.

Aku diam. Hadam pesanannya dan meneruskan perbualan tersebut sehinggalah tiba di pejabat.

No comments:

Post a Comment