Assalamualaikum.
Aku jarang kongsi buah tangan orang lain dalam blog ini, tapi setiap kali aku sharekannya di sini, hal ini bermakna karya-karya tersebut ada memberi dorongan motivasi kepada aku untuk berusaha menjadi lebih baik. Encik Bahruddin Bekri, terima kasih ;')
_____________________________________________________________________________________________
Bagaimana buah hati saya? - Sebuah cerpen
Saya adalah anak lelaki yang bongsu. Masih belajar pada tahun kedua di
universiti. Saya juga adalah lelaki yang sudah punyai kekasih hati yang
cantik, pintar dan menjaga diri. Saya tahu, umur saya masih muda, tetapi
saya juga tahu cinta saya itu perlu segera dicepatkan dengan bernikah.
Kepada ibu sudah saya beritahu tentang hasrat hati mahu bernikah muda,
dan dia cuma berkata, “Tanyalah ayah kamu.” Lalu yakin saya bertambah,
kerana menganggap itulah restu ibu. Namun pada ketika saya memaklumkan
hasrat hati kepada ayah, terjadi sesuatu yang membuatkan saya resah.
Sofa putih.
Mahu menikah dengan siapa, ayah tidak pernah kisah dan dia yang pada
ketika itu duduk di sofa putih memberitahu dengan ayat yang mudah, “Saya
yakin dengan kamu. Kamu anak yang baik dan pasti punyai pilihan yang
baik.”
Namun pada ketika persoalannya adalah, mahu menikah bila, ayah menjadi
sebaliknya. Katanya mula memeningkan, “Ada sebabnya Tuhan menjadikan
manusia itu secara bertahap. Terlentang, merangkak, bertatih dan barulah
berlari dan kemudiannya ia akan kembali berjalan, bertatih, merangkak
dan akhirnya terlentang mati. Itu yang cuma nampak pada fizikal, tetapi
hati juga bertahap. Ia juga merangkak, bertatih, berjalan, berlari dan
kemudiannya kembali berjalan, bertatih, merangkak dan akhirnya diam
mati. Itu semua menyangkut hal keutamaan. Mana yang perlu didahulukan
dan mana yang tidak. Jadi, hal nikah itu bukan sahaja kamu perlu
sesuaikan dengan tahap fizikal kamu, tetapi perlu sesuaikan dengan tahap
hati kamu.”
Saya menjadi tidak setuju. Segala hujah segara saya keluarkan. Hujah
nikah khitbah, hujah orang zaman dahulu bernikah pada umur belasan,
hujah bagi membendung maksiat, dan pelbagai lagi hujah lain. Saya
menjadi berani. Semuanya kerana cinta saya kepada perempuan itu
menyala-nyala dan pasti setiap halangan akan tetap saya tempuhi.
Lalu ayah hanya tersenyum. Katanya, “Anakku, itu semua betul tetapi ia
cuma betul pada ketika tarikhnya juga betul. Tarikh di sini adalah
persediaan hati kamu. Saya ini, ayah kamu dan saya tahu kamu belum
bersedia.”
“Saya sudah bersedia. Saya sudah mengaturkan segalanya. Saya akan nikah
khitbah dahulu, saya akan berusaha menghabiskan pelajaran di samping
bekerja sambilan. Tidak lama, cuma tiga tahun dan selepas itu semuanya
akan kembali mudah. Namun paling utama, hati anakmu ini tenang, dan
terjauh daripada dosa besar.” Itu hujah saya, hujah yang saya sudah
sediakan tiga hari sebelum dengan membaca banyak sekali fakta berkenaan
nikah muda.
Ayah tetap juga tersenyum dan berkata, “Anakku, sekiranya niat kamu
bernikah mahu mengelakkan maksiat, ketahuilah, kamu mempunyai peluang
bagi terjebak dengan cinta lain dengan perempuan lain atas dasar nafsu.
Lalu apa selepas itu? Kamu akan nikah lagi dan bagaimana dengan
isterimu? Sekiranya isterimu setuju, alhamdulillah tetapi berapa ramai
perempuan begitu di dunia ini? Pasti tetap cemburu, hubungan menjadi
dingin, lalu bagaimana dengan anak-anak kamu? Bagaimana dengan keluarga
kamu?”
Persoalan yang ayah lontarkan itu membuat saya semakin tidak senang.
“Ayah, saya hormati penerangan ayah. Tetapi bagaimana dengan hati kami?
Pasti ayah juga tahu, cinta dan rindu itu ubatnya hanyalah nikah. Apa
yang perlu saya buat? Ayah mahu melihat saya menderita kerana cinta?”
rayu saya.
“Seperti yang ayah sudah beritahu, kamu anak yang baik dan pasti boleh
lebih baik daripada sekadar itu. Menderita kerana cinta? Itu memang
pasti berlaku, tetapi bukan kepada engkau, anakku. Ayah tahu kamu boleh
menderita yang lebih perlu daripada sekadar menderita kerana cinta.
Menderita kerana takut kepada dosa, menderita kerana berbuat dosa,
menderita melihat kesusahan orang lain dan seumpamanya.”
Pantas saya menjawab saya menderita kerana saya takut terjerumus pada
dosa besar. Saya menderita kerana takut jatuh ke dalam fitnah.
Kali ini senyuman ayah tidak nampak lagi, dan saya yakin saya sudah
memenangi hatinya. Namun tetap juga saya tahu, ayah tetap mahu berkata
sesuatu.
“Anakku, jelas hati kamu belum bersedia. Saya ini ayah kamu, tetapi kamu
sendiri belum mampu meyakinkan ayah berkenaan rancangan nikah kamu
selain hujah kamu takut dosa. Nikah itu bukan sekadar kamu takutkan
dosa. Sekiranya kamu benar-benar takutkan dosa, solat sunat kamu akan
bertambah, bukannya dengan memilih jalan pintas iaitu nikah. Jelas
sekali, kamu menikah kerana hanya mahu memuaskan nafsu kamu. Selepas itu
apa? Bagaimana dengan psikologi kamu? Adakah kamu sudah bersedia
menjadi suami? Adakah buah hati kamu sudah bersedia menjadi isteri? Lalu
bagaimana dengan keluarga si perempuan itu? Adakah dia yakin kepada
kamu yang masih berada dalam tanggungan ayah?”
Soalan-soalan ayah itu membuatkan hati saya semakin dijerut. Ayah
sepertinya tidak tahu maksud sebenar saya. Kami sepertinya berbual bukan
pada landasan yang sama lalu tidak mungkin akan bertemu. Saya berbicara
berkenaan nikah atas mahu menghalalkan hubungan tetapi dia, hanya
melihat pada kemampuan ekonomi saya. Sesuatu yang lebih ringan
berbanding dosa besar tadi.
“Sekiranya ayah tetap tidak setuju, saya tetap akan teruskan juga. Lagi
pula saya sudah menanggung dosa saya sendiri. Sekiranya saya terjebak
dalam dosa, saya juga yang neraka. Jadi saya nekad.” Itulah jawapan
saya. Jawapan yang bukan mahu kurang ajar tetapi mahu memberitahu, saya
tahu dengan apa yang saya buat dan saya tegas dalam perkara itu.
Ayah tidak berlengah memberi hujah.
“Tidak salah sekiranya kamu bernikah semasa kamu masih belajar dan kamu
masih belum bekerja. Yang salah adalah diri kamu belum bersedia. Itulah
maksud ayah, iaitu kamu perlu sesuaikan aktiviti kamu dengan keadaan
hati kamu mengikut keutamaan. Kamu tidak boleh terus berlari sekiranya
kamu masih bertatih. Sekarang ini, kamu masih bertatih dalam ilmu
keluarga, dan kamu terus mahu berlari bagi bernikah. Itu tidak betul
kerana tidak mengikut keutamaan. Hati kamu sekarang, adalah hati yang
hanya mahu seronok-seronok, mahu yang nampak 'sweet', tetapi belum
bersedia dengan yang namanya tanggungjawab.”
“Itu ayah jangan risaukan. Saya ini cepat belajar, dan saya tetap mahu
bernikah!” Saya semakin tegas, dengan nada yang juga tegas.
Ayah pula segera memegang tangan saya.
“Itulah yang ayah maksudkan. Kamu ini anak lelaki kami. Sekiranya kamu
bernikah dan menjadi suami, kamu tetap tertakluk pada kata-kata seorang
ibu. Kamu tetap wajib mengikut kata ibu, dan kamu tetap wajib membela
kami. Tetapi lihatlah diri kamu sekarang, hanya kerana cinta sahaja kamu
sudah berani melawan ayah. Tidakkah kamu tahu hukum anak derhaka? Ayah
bertanyakan persoalan-persoalan itu bukan mahu menguji pengetahuan kamu,
tetapi mahu menguji hati kamu. Lalu lihatlah, belum apa-apa kamu tanpa
sedar sudah mahu berkeras suara dengan ayah. Ayah tahu, sekolah ayah
tidak tinggi, ilmu agama ayah kurang tetapi saya tetap ayah kamu, yang
tahu siapa kamu. Namun sekiranya kamu tetap mahu bernikah, ayah benarkan
kerana ayah tidak mahu kamu menjadi anak derhaka, ayah mahu kamu
membina pernikahan yang mendapat restu. Namun ayah mohon, sekiranya kamu
bersabar untuk beberapa tahun lagi, ayah dan ibu pasti lebih gembira.”
Kata-kata ayah itu menyentak hati saya. Cepat-cepat saya beristighfar
kerana tanpa sedar saya sudah hampir menentang ayah sendiri.
“Tetapi bagaimana dengan perempuan itu? Sanggupkah dia menunggu?” soal saya dengan nada yang gusar.
Ayah kembali tersenyum.
“Anakku, sekiranya kamu bernikah kerana takutkan maksiat, ayah takut
kamu belum bersedia. Tetapi apabila kamu bernikah kerana mahu
mendapatkan redha Allah dengan menjauhi maksiat, itu yang
sebaik-baiknya. Tadi, ayah tidak sekalipun mendengar hujah kamu mahu
mendapatkan redha Allah. Yang lebih menakutkan ayah, subuh kamu pun
masih dikejutkan ibu, pakaian kamu masih dibasuh oleh ibu, dan pelajaran
kamu pun masih kamu malas-malaskan. Hairannya, nikah pula yang kau
rajinkan. Sekiranya sahajalah, kamu ini rajin serba-serbi, tidak ada
masalah untuk ayah lepaskan kamu kerana kamu tahu keutamaan kamu.”
“Selepas nikah saya akan menjadi rajin. Saya akan bertambah dan lebih
tanggungjawab kerana saya sedar saya sudah menjadi ketua keluarga,”
pujuk saya lagi.
“Kamu masih menjadi 'anak yang ditanggung', belum lagi menjadi 'anak
lelaki'. Besar bezanya anak yang ditanggung dengan anak lelaki. 'Anak
yang ditanggung' bukan bermakna ditanggung belanjanya tetapi bermaksud
'tanggungjawab' kamu pun ayah dan ibu yang perlu tentukan dan susun.
Itulah yang ayah maksudkan kamu belum bersedia. Kamu belum mampu
berdikari daripada segi menyusun keutamaan tanggungjawab. Anak lelaki
pula walaupun masih belajar dan ditanggung oleh ibu bapanya, mereka
lebih tahu keutamaan tanggungjawab mereka. Tahu mana yang perlu
diutamakan dan mana tidak. Sekiranya kamu sudah menjadi anak lelaki,
barulah kamu mampu menjadi suami yang baik. Dan menjadi anak lelaki
dimulakan dengan menjadi anak yang baik, anak yang mendengar kata dan
berani ditegur.”
“Tetap bagaimana dengan perempuan itu?” saya masih keliru.
“Sekiranya kamu mahu bertunang dahulu, ayah tidak ada masalah. Namun
sekiranya perempuan itu tidak mahu, bermakna dia bukanlah perempuan yang
baik untuk kamu, mungkin dia lebih baik untuk orang lain. Yang pasti,
dia juga jelas belum bersedia menjadi isteri kepada lelaki seperti kamu.
Dia perlukan lelaki yang lebih tabah dan baik daripada kamu kerana buat
masa ini, kamu belum bersedia lagi. Jadi, susun dahulu keutamaan kamu,
dan sekiranya kamu sudah menjadi 'anak lelaki', bulan hadapan pun kamu
boleh bernikah. Tetapi menjadi anak lelaki itu bukan kerja sebulan dua.
Ia kerja bertahun-tahun.”
Ayah mengakhiri hujahnya dengan senyuman, dan senyuman itu membuatkan
saya pedih hati, namun tetap sahaja saya gembira kerana setidak-tidaknya
saya tahu, ayah tidak pernah lepas tangan bagi melihat kebahagiaan
saya. Tetapi tetap sahaja saya resah. Bagaimana dengan buah hati
saya?Aduh....
_____________________________________________________________________________________________
Anda boleh klik di laman blog beliau ataupun terus kepada entri cerpen tersebut.
Assalamualaikum.
P/S: Jasad itu berperingkat. Begitu juga dengan hati.